BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, January 26, 2011

Bila cinta x Bermakna

semua orang tahu jalan ini. Jalan mahal ini. Memang ianya penuh tawaran.
Semua ada dijalan ini. Apa yang tidak kamu temui sebelumnya akan kamu temui dijalan ini.
Sebut saja.
Kamu boleh membeli. Kamu boleh dibeli. Kamu boleh menjual dan kamu boleh dijual.
kamu boleh membuat tawaran dan kamu juga boleh ditawarkan.
Aku …
13 tahun dijalan ini.
Banyak aku temui apa yang telah aku sebutkan.
Aku pernah ditawarkan biasiswa
Aku pernah ditawarkan pekerjaan.
Aku pernah ditawarkan pangkat.
Aku pernah ditawarkan cinta …
dan berbagai tawaran lagi.
Segala tawaran itu jika tidak kita terima, memang pasti akan mengembirakan kita tapi jika tawaran itu kita terima kita juga pasti menderita karenanya …
Itulah dia tawaran tawaran dunia yang seharusnya kita harus berhati hati untuk menerimanya!
Tidak ada satu pun  tawaran yang ditawarkan oleh manusia dijalan ini yang boleh membahgiakan kamu! Percayalah!
Apa yang bedanya antara tawaran dunia dan tawaran Allah adalah kepercayaan pada  ghaib dan realiti.
Disinilah ujian iman yang harus kamu hadapi!
Iman itu boleh datang dan pergi.
Iman boleh pasang dan surut.
Iman boleh turun dan naik. Atau lebih malang lagi boleh hilang menyepi.
Begitulah iman yang tidak punya raga ini.
Hanya wujud dalam ketundukan semata. Tidak kira kamu ramai atau sendirian.
Jangan kamu rasa kamu berada didalam jamaah yang besar dan gah kamu rasa terselamat. Tidak kawan, tidak sama sekali!
Sebab itu kamu jangan sesekali bergantung dengan jamaah. Bergantung dengan kehebatan kepimpinannya. Bergantung dengan kekuatan murabbinya atau bergantung dengan keglamourannya! Pasti kamu akan kecewa. Kamu akan merana kerana semua mereka itu adalah makhluk. Makhluk yang hanya menjadi pembantu. Menjadi wasilah. Menjadi pelapik jalan untuk kamu menuju RabbMu.
Mereka semua itu juga makhluk. Tidak punya kekuatan seperti kamu. Mereka juga lemah jika kamu tidak kuat. Mereka juga bergantung dengan kekuatan kamu!
Kawan
Ingatlah! Kamu kelak tidak akan mengadap Allah bersama mereka. Juga tidak mengadap Allah ditemani oleh suami mu, isterimu, murabbi mu. Atau orang yang kamu cinta disaat ini yang berada disisimu. Tentu kamu tahu itu bukan!
Memang! Kamu akan mengadap Allah keseorangan. Keseorangan untuk kamu persembahkan amal amal mu. Amal amal qowi dan dhoifmu. Hatta dosa dan pahala mu. Kamu tidak ditemani. Tiada siapa akan membimbing tanganmu. Meramas jari jemarimu dengan rasa cintanya untuk menenangkanmu. Waktu itu kamu benar benar kehilangan cinta. Cinta yang fana’.

Dan cinta ketika itu tidak lagi bermakna.

Kecuali cinta Allah terhadap iman mu.
Kawan
Mulailah perjuangan kamu.
Mulailah mujahadah kamu. Mulailah membunuh satu demi satu mazmumah kamu. Kelemahan dan kelalain kamu. Kerana itu semua keaiban kamu sebagai seorang da’i. Keaiban kamu yang telah lama dijalan ini ….
Jangan kamu biarkan sepoi angin kelemahan merayu ‘ thumuh‘ kamu.
Jadilah sebatang lilin yang boleh menghisap gelombang.
Jadikanlah permukaan bumi ini tempat kayuhan langkah kamu dalam derap yang tidak pernah putus asa dalam melewati hari hari kamu.
” Akhi ana lemah.”  Mengadu seorang da’i itu. ” Kak ana lemah”. Rintih seorang mutarabbi itu. ” Ana tak tahu ustaz iman ana selalu macam ni. Kejab lemah dan kejab kuat. Tak pernah lansung nak konsisten”. Adu sang murid itu.
Begitulah kelemahan berputar kepada yang tidak bersungguh didalam perjuangan ini meskipun mereka rasa mereka telah bersungguh sungguh.
Itulah ” Ghurur”. Tipu daya didalam perjuangan.
Mereka lama berjuang tapi bukan berjuang didalam perjuangan yang penuh  ‘ kualiti ‘. Bukan diatas satu niat yang mutlak. Mereka rasa kuat bila mereka ramai dan lemah waktu keseorangan.Asbabnya ialah mereka berjuang kerana makhluk dan bukan kepada KhalikNya!’
Mereka tidak punya ‘ kenderaan jiwa ‘ yang dapat menggugah perasaan mereka hingga jasad mereka digerakan oleh ‘ rela dalam keterpaksaan’ . ‘ Bergerak atas asakan”.
Sebab itu mereka mengeluh didalam instink perjuangan mereka.
Mereka hanya merasa keindahan sementara didalam jiwa. Tidak melekat dilubuk hati!
Lalu mereka berpusing pusing di ‘ roundabout ‘ kelemahan. Bertahun tahun tanpa anjakan. Hingga mereka pecah satu demi satu bagai buih dilautan.
Kamu tahu kenapa kamu jadi begini?
Ini kerana kamu selalu mengambil ‘ rukshah’  dalam hidup ini. Kamu mengambil rukshah disetiap keadaan hidup kamu. Sebab itu kamu lemah dan terus lemah. Tidak ada kekuatan dan energy untuk istiqamah. Itulah lemah sebenar kamu! Bukan sistem atau tarbiyah itu lemah atau pun jamaah itu lemah.
Lihatlah wahai rijal ….
Rijalkah kamu jika selalu sangat mengambil ruksah didalam rumahtangga kamu. Kamu disisi isteri bukan hanya membisikan ‘kamasutra’ ghairah kamu tapi adalah untuk menghairahkan diri kamu dan dia menuju Allah kerana itu cita citanya waktu menerima kamu. Bukan hanya bersajak dan bersyair dihadapannya menyatakan rindu yang akan berhujung dengan kedutan ketuaan. Kamu beraqad dengan nya bersaksikan Allah bukan bersaksikan ‘ tajmahal ‘ yang penuh dengan cerita cinta itu. Tidak malukah kamu jika orang ramai melihat seorang isteri duat yang lemah dan bergelumang dengan sifat sifat mazmumah yang mengelilinginya?
Rijalkah kamu jika selalu mengambil rukhsah dengan halaqah kamu. Kamu dengan mereka memegang masuliyah yang sama. Kenapa tidak kamu masukkan dalam jiwa jiwa mereka sifat ‘azimah’ kerana hanya sanya orang yang mempunyai azimah sahaja yang dapat menagalahkan dirinya dan sanggup mengalahkan orang lain diluar dirinya. Inilah kekuatan yang patut ada pada diri kamu seorang da’i. Azimah inilah yang akan menjadi indah dimata manusia. Menjadi pedang kemuliaaan. Menjadi senjata kelemahan.
Berapa ramai orang cerdik dan berpelajaran yang tidak dapat mengalahkan dirinya! Berapa ramai da’i yang tidak dapat mengalahkan diri dan nafsunya setelah berpuluh tahun ditarbiyah …
Kawan
Azimah inilah yang hilang dari kita hingga kita lemah kuat lemah kuat dan terus lemah didalam perjuangan ….
Kawan,
apa yang ingin aku rumuskan adalah kita kena  ‘ berpacu ‘ dan berlomba ( As Sibaq).
Titah Allah menyuruh kita terus berlumba dikehidupan yang panjang ini tanpa merasa penat dan jemu. Sebab itu Allah tidak pernah memberitahu kita bila untuk berhenti sebab masa untuk kita berhenti adalah akhirmasa kerja kita. Kerja dakwah kita. Dan kerja dakwah ini memerlukan orang yang mengambil azimah dalam hidupnya agar tekad kehendak kemahuan yang terkandung didalm sifat azimah itu tak tertawarkan oleh godaan dan ancaman ditengah jalan.
Kita harus memahami makna waktu dan hidup dan melaluinya dengan semangat perpacuan yang dapat menerobos godaan keindahan. sebab itu aku kata, gunakan kenderaan jiwa dan azimah itu untuk mengantar kita pada  tangga ketinggian.
Kita perlu kuat.
Kosongkan fikiran dari memikirkan dunia dan keindahan sementara ini kerana jika kita fikirkan dunia dan keindahannya serta berkeinginan untuk mendapatkannya, jiwa kita akan bertambah kosong. Lalu fikiran kita akan jauh lebih kosong sehingga kita akan lupa pada sang jiwa dan lupa memberi makanan padanya hingga jiwa kita lapar dan lemah lalu nafsu menguasainya. Bila nafsu mula menguasai maka  kita akan hidup tanpa jiwa sedangkan dakwah memerlukan sepenuh jiwa!
Semuga langit akan menangisi kematian kita.

1 comments:

Unknown said...

cuke3 syok nye blog adik suka sangat upadte yg bru tau